Alu-aluan Pengarah
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan PESTA BUKU SELANGOR 2008. Pesta buku yang berupa acara tahunan ini dinaungi oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Pesta Buku pada tahun ini bakal berlangsung selama 9 hari bermula dari 25 Julai hingga 3 Ogos 2008, bertempat di Kompleks PKNS, Shah Alam dan dibuka dari 10 pagi hingga 9 malam. Lokasi ini menjadi kegemaran para pempamer hasil soal selidik yang dikeluarkan oleh pihak Urus Setia. Pemilihan Kompleks PKNS sebagai tapak pesta buku ini adalah kerana kompleks ini merupakan antara lokasi paling kerap dan paling mudah dikunjungi oleh orang ramai di Selangor.
Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana telah memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor untuk melaksanakan Pesta Buku Selangor 2008. Tanpa sokongan yang kuat bersama rakan-rakan agensi yang lain, maka agak sukar bagi kami untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan.
Pesta Buku Selangor 2008 ini turut mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS),Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor (BTPN), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor FM, PTS Millennia, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Karangkraf, PBT dan lain-lain agensi.
Pesta Buku Negeri Selangor 2008 bakal disertai oleh lebih ramai penggiat-penggiat dalam industri buku berbanding tahun-tahun yang lalu. Peningkatan jumlah gerai akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung untuk memilih bahan-bahan yang digemari. Seperti biasa pelbagai aktiviti menarik untuk santapan pengunjung turut disajikan.
Saya berharap agar Pesta Buku Negeri Selangor tahun 2008 akan terus meninggalkan kesan yang mendalam bagi setiap pengunjung dan juga penggiat-penggiat industri buku. Sebarang kekurangan dalam penganjuran Pesta Buku kali ini diharap dapat diperbaiki untuk tahun-tahun seterusnya.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada penaja, rakan-rakan media dan semu agensi yang terlibat bertungkus lumus untuk memastikan kelancaran perjalanan Pesta Buku Negeri Selangor 2008. Semoga segala penat lelah anda akan diberkati oleh Allah S.W.T.
Sekian, terima kasih.
MOHDI BIN DARIM
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor



