Posts Tagged: dr. halimah

Negeri Selangor Hub Pendidikan & Hub Ilmuan – YB. Dr. Halimah

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPAS kerana mengundang saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan majlis sepetang bersama media pada hari ini. Pesta Buku Selangor ini merupakan program tahunan dan telah dianjurkan semenjak tahun 2007 oleh PPAS dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan kerjasama erat agensi-agensi Kerajaan yang lain.

1. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pengarah PPAS dan keseluruhan Jawatankuasa kerja dan pihak-pihak yang terlibat, kerana inilah yang sentiasa digalakkan oleh kerajaan dalam usaha penyebaran ilmu kepada masyarakat secara berterusan dan seterusnya dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan diri dan keluarga serta melahirkan warga Selangor yang berjaya dan cemerlang.

Saya juga berharap Pesta Buku kali ini berjaya menarik penerbit dan penjual buku ke Kompleks PKNS, Shah Alam. Sebuah lokasi dan Bandaraya yang sepatutnya sudah lama menjadi Pusat buku dan ilmu dirantau ini.

Yb. Dr. Halimah memberikan ucapan pelancaran Pesta Buku Negeri Selangor 2009

Yb. Dr. Halimah memberikan ucapan pelancaran Pesta Buku Negeri Selangor 2009

2. PPAS SEBAGAI PENGANJUR :

Penganjuran Pesta Buku Negeri ini amat bertepatan dengan saranan Kerajaan Negeri Selangor ke arah masyarakat membudayakan ilmu. Dan dalam masa yang sama menjadikan Negeri Selangor sebagai “Hub Ilmuan, Hub Pendidikan”

Terdapat beberapa negeri yang menganjurkan pesta buku dikelola sepenuhnya oleh pihak swasta. tetapi Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan tugas ini kepada Perpustakaan. Untuk menjayakannya bukanlah sesuatu yang mudah.

Selaras dengan hasrat itulah, kerajaan Negeri Selangor melantik PPAS yang sinonim dengan buku sebagai Urus Setia tetap program ini.

Segala sokongan perlu diberikan agar Pesta Buku Negeri Selangor ini menjadi satu acara yang terpenting di negeri Selangor. Tujuan penganjuran Pesta Buku seumpama ini amatlah bertepatan dalam mewujudkan Negeri Selangor sebagai “Hub Ilmuan, Hub Pendidikan”. Ini bagi memastikan buku-buku yang diterbitkan dapat disampaikan kepada masyarakat yang memerlukan.

3. PROMOSI & PUBLISITI

Bagi para media cetak yang hadir pada hari ini, war-warkanlah program ini dengan sebaik-baik dan setelus-telusnya. Berikan publisiti tidak mengira masa dan tempat secara bersungguh-sungguh. Mana-mana agensi yang telah lama memberi kerjasama dalam Pesta Buku Negeri Selangor, teruskan sumbangan anda. Dalam menjayakan program ini, kerjasama dari anda amatlah dialu-alukan.

Promosi bukan hanya sekadar di buat di Shah Alam malah serata pelusuk negeri Selangor dengan kerjasama Jawatankuasa Gerakan Membaca peringkat daerah, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan malah Ketua-Ketua Kampung.

Bagi memastikan semua warga pendidikan mendapat manfaat dari pesta buku ini, Jabatan Pelajaran Selangor adalah diharapkan untuk membawa pelajar-pelajar terutama dari sekolah-sekolah yang jarang-jarang dapat berpeluang untuk menyertai Pesta Buku, begitu juga dengan sekolah-sekolah dibawah pentadbiran JAIS. Pihak Kerajaan Negeri Selangor berharap program ini dapat dihebahkan didalam perhimpunan mingguan pelajar.

Pelbagai aktiviti akan diadakan bagi memeriahkan lagi pesta buku Negeri Selangor. PPAS dicadangkan untuk membawa komuniti dari semua perkhidmatan daerah, cawangan dan desa untuk turut serta di dalam pesta Buku serta mengadakan aktiviti sokongan untuk semua kategori umur tanpa mengira kaum dan bangsa.

Para ibubapa wajib menjadikan pesta buku kali ini sebagai program yang wajid dihadiri seisi keluarga dan membudayakan berkunjung ke pesta buku sebagai Happy Family Holidays

Saya juga berharap PBT dapat membantu mengiklankan apa jua aktiviti yang akan dilaksanakan sempena Pesta Buku Negeri Selangor.

4.BAGI PARA PEMPAMER-PEMPAMER

Memandangkan Sambutan diluar jangkaan pada tahun lalu dengan penglibatan lebih 90,000 ribu pengunjung telah menjadikan Bandaraya Shah Alam sebagai agen dan pertemuan ilmuwan-ilmuwan serta one-stop centre bagi orang ramai mendapatkan buku-buku berkualiti bagi diri dan keluarga. Bagi para pempamer, tawarkanlah bahan-bahan yang berkualiti dan harga yang berpatutan.

Dengan memberi tawaran harga yang istimewa, diharapkan Pesta Buku kali ini akan terus menjadi pilihan semua golongan masyarakat. Yang paling utama ialah : apakah kandungan terbaru, hasil terbaru, hidangan terbaru, yang dapat dibekalkan oleh Penerbit melalui Pesta Buku ini. Kalau boleh kita tidak mahu keluaran atau stok simpanan yang terdahulu dari Pesta-pesta buku yang lepas. Janjikan kandungan yang menarik bagi Pesta Buku kali ini.

5. PELAN TINDAKAN

Sesungguhnya Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan tinggi dan Pembangunan Modal Insan sememangnya akan menjadikan Negeri Selangor sebagai “Hub Ilmuan, Hub Pendidikan”. Antara Misi kami ialah :

Melahirkan Manusia Yang Bersepadu Dan Berdaya Saing.

Menjana Ilmu Dan Teknologi Yang Bermanfaat.

Sesungguhnya Pesta Buku Negeri Selangor merupakan antara program yang amat penting dalam kalendar kerajaan Negeri Selangor. Ini kerana ia merupakan salah satu agenda ke arah pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan yang berkualiti adalah amat penting ke arah membina rakyat yang berilmu malah ianya perlu seiring dengan pembinaan infrastruktur.

6. NEGERI MAJU

Dalam membina negeri maju, rakyat Selangor haruslah mempunyai tabiat membaca yang tinggi. Hanya dengan membaca rakyat akan berilmu bagi menyumbang kepada kemajuan negeri. Kemajuan negeri tidak akan kekal tanpa pemerolehan ilmu yang berterusan. Justeru, lebih banyak buku perlu dihasilkan oleh penulis tempatan sebagai alat mendidik, menyebar dan memindah ilmu demi kemajuan negara.

Kita tidak lagi boleh bergantung selama-lamanya kepada ilmu yang diambil dari luar semata-mata. Ini kerana ada beberapa bahan-bahan berkenaan yang tidak sesuai dengan budaya di negara kita, Negara kita mempunyai ramai Ilmuwan-ilmuwan yang boleh menulis dan berkongsi kepakaran mereka untuk tatapan masyarakat umum.

Saya masih rasakan bahawa masih banyak yang kita perlu lakukan sekiranya kita ingin meyediakan buku-buku yang memenuhi keperluan masyarakat di Malaysia umumnya dan Selangor khususnya.

7. SOKONGAN KERAJAAN NEGERI

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyokong penuh hasrat menilai apa jua program yang berteraskan ilmu. Malah Kerajaan Negeri Selangor menyokong penuh semua agensi berkaitan dalam menanam minat membaca di kalangan rakyat Selangor.

8. PELAKSANAAN

Dengan pengalaman yang ada, penambahbaikan dari segi promosi/publisiti dapat dirancang dengan lebih awal. Dengan kehadiran YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sebagai perasmi pada Majlis Perasmian Pesta Buku pada 25 Julai 2009 di Kompleks PKNS Shah Alam akan menjadi tumpuan para pencinta buku sekaligus meningkatkan jumlah pengunjung Pesta Buku pada kali ini berbanding 3 tahun lepas.

Dan pada masa yang sama saya berharap pesta buku ini juga dapat mempertemukan para penulis, penyunting, penterjemah, pereka bentuk dan semua karyawan yang terlibat dalam industri ini.

Kita mahukan supaya Pesta Buku Negeri Selangor kali ini ditunggu-tunggu kehadirannya oleh rakyat di Negeri Selangor khususnya dan Negeri-Negeri lain umumnya.

9. HARAPAN

Impak di dalam penganjuran Pesta Buku ini harus dikongsi oleh penganjur , industri buku dan juga rakyat. Kerajaan Negeri Selangor berharap pesta buku ini dapat merangsang minat aktiviti membaca dikalangan semua isi rumah dan menjadikan Shah Alam sebagai “Pusat Buku & Ilmu” di rantau ini dimana dalam menjana Negeri Selangor sebagai “Hub Ilmuan, Hub Pendidikan”

PENUTUP

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada pihak penganjur khususnya Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, dan rakan-rakan agensi yang lain seperti Jabatan Pelajaran Selangor (JPNS), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri( BTPN), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), PTS Publication, Karangkraf, Sinar Harian, e-Media, Jabatan Agama Islam Selangor, Selangor FM, dan Celcom Malaysia Berhad serta semua penyumbang-penyumbang yang masih sudi menyumbang. Harapan saya agar pihak penganjur dapat melakukan penilaian dari masa ke semasa terhadap prestasi Pesta Buku Negeri Selangor ini serta menentukan penanda aras yang perlu dicapai agar usaha dapat digerakkan untuk menjadikannya lebih berjaya dan dapat dimanfaat oleh seluruh rakyat negeri Selangor khususnya. Sekian terima kasih.


YB DR HALIMAH BT ALI

EXCO PENDIDIKAN, PENDIDIKAN TINGGI & PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGERI SELANGOR

Ucapan di Majlis Pelancaran Pesta Buku Selangor 2009 di Hotel Grand Blue Wave, 2 Julai 2009

Best Wordpress Themes